EASA what?
Artikel ni diambil bulat2 dari website ini Artikel Miat .. At the moment this is what I've been doing for the past 6 months.. another 18 months to go..
Pelajar didedah pengalaman kendali enjin, komponen pesawat
MEMILIKI prasarana bertaraf antarabangsa dilengkapi tenaga pengajar terlatih dan berkemahiran pelbagai serta institusi latihan menyeluruh mencakupi piawaian antarabangsa dan keperluan industri menjadikan graduan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) bersedia memenuhi kehendak pasaran terkini dan akan datang dalam bidang aeroangkasa dan penerbangan.
Sebagai sebuah universiti peneraju pengajian kejuruteraan dan pengurusan penerbangan, UniKL MIAT turut mengorak langkah dengan menawarkan program profesional Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) Part 66 yang dikendalikan menerusi kerjasama dengan pusat latihan EASA Part 66 yang teriktiraf berpangkalan di Jerman iaitu Aero Bildung GmbH.
Dekan UniKL MIAT, Abdul Aziz Ismail Effendi, berkata dengan program ini membolehkan pelajar yang sudah menamatkan pengajian dan mempunyai pengalaman bekerja dua tahun memohon mendapatkan Lesen Jurutera Penyelenggaraan Pesawat EASA Part 66 daripada pihak berkuasa penerbangan awam United Kingdom, Civil Aviation Authority UK (CAA-UK) melalui pihak berkuasa awam Jerman.
“Program ini sudah berjalan selama dua tahun dan kami sudah mengambil lapan kumpulan pelajar membabitkan 125 pelajar secara keseluruhan.
“Dua kumpulan pertama sudah menamatkan pembelajaran selama dua tahun yang membolehkan mereka mendapat sijil pengiktirafan dan mereka kini perlu menamatkan syarat menjalani latihan kerja selama dua tahun untuk melayakkan mereka mendapatkan lesen.
“Lesen berkenaan diiktiraf di seluruh dunia sekali gus melayakkan mereka bekerja di mana-mana syarikat penerbangan di seluruh dunia,” katanya.
UniKL MIAT sememangnya menggalakkan bekas pelajarnya menduduki mana-mana kaedah sama ada EASA Part 66 atau prosedur yang berkuat kuasa dengan Jabatan Penerbangan Awam satu sebagai asas untuk menceburi profesion penyelenggaraan pesawat.
UniKL MIAT yang beroperasi di Jenderam Hulu, Dengkil, Selangor menawarkan program peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.
Program diploma ditawarkan ialah Diploma Teknologi Kejuruteraan yang mengkhusus kepada pengendalian avionik, helikopter dan kapal terbang serta Diploma Teknologi Pengendalian Kapal Terbang (komposit, pembuatan dan avionik).
Program peringkat ijazah membabitkan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pesawat pengkhususan dalam mekanikal dan avionik serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Penerbangan.
Turut ditawarkan program profesional Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) Part 66 dan program asas Pra Universiti Kejuruteraan Russia.
Program itu dilaksanakan menerusi kaedah pembelajaran intensif dengan memberi penekanan kepada 40 peratus teori dan 60 peratus latihan amali yang relevan dengan keperluan industri semasa.
Kampus UniKL MIAT sememangnya sangat unik dan menarik di mana kampus ini dilengkapi model pesawat jenis propeller, pesawat komersial hinggalah kepada jet pertahanan Skyhawk.
Semua kapal terbang berkenaan membolehkan pelajar mendapatkan pengalaman secara langsung. Proses pembelajaran menjadi lebih lancar apabila pelajar didedahkan dengan enjin serta komponen pesawat sebenar.
“Dengan mengikuti program pengajian ditawarkan di UniKL MIAT, graduan tidak hanya berpeluang bekerja sebagai jurutera penyelenggaraan pesawat, tetapi merangkumi pelbagai bidang berkaitan dengan penerbangan termasuk dalam industri pembuatan pesawat.
Menurut Abdul Aziz, program diplomanya terbuka kepada lepasan SPM dengan syarat memiliki lima kredit termasuk mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains. Calon dikehendaki menduduki ujian kecerdasan sebelum layak ditemuduga bagi pemilihan.
“Kita menerima permohonan 5,000 pelajar untuk mengikuti program pengajian dalam sesi ini, bagaimana pun hanya 450 akan diterima masuk,” katanya.
Abdul Aziz berkata, berdasarkan statistik, selepas enam bulan menamatkan pengajian daripada UniKL MIAT 80 peratus pelajarnya mendapat pekerjaan.
UniKL adalah IPT milik penuh MARA yang menekankan pengajian bidang teknikal. Ia merangkumi usaha mendidik mahasiswa dan siswi bidang keusahawanan menerusi program Teknoputra.
Sebagai sebuah IPT milik penuh MARA 90 peratus pelajarnya adalah Bumiputera dan selebihnya bukan Bumiputera termasuk pelajar Asia Barat, Iraq dan Thailand.
UniKL MIAT adalah sebuah institusi pendidikan penerbangan terkemuka di Malaysia dan memenangi banyak anugerah dan diiktiraf oleh pelbagai agensi tempatan dan luar negara.
Pada 2008, UniKL MIAT menjadi organisasi pertama yang diiktiraf oleh Jabatan Penerbangan Awam dan kemudian oleh Frost and Sullivan sebagai pemenang anugerah Asia Pacific Aviation Workforce Development 2008.